APA ITU MAKHLUK GHAIB?

Apa Itu Makhluk Ghaib?

 400792827_640

Foto Sekadar Hiasan

Secara bahasa, makhluk ghaib adalah segala makhluk yang tidak dapat kita lihat dengan pancaindera kita, dengan mata kita. Secara syariat, yang dimaksud ghaib itu adalah sesuatu yang ada di dalam Al Quran, maupun hadis, tetapi kita sebagai manusia tidak dapat melihatnya. Di antara yang ghaib adalah syurga, neraka, azab kubur, hari kiamat dan termasuk jin. Untuk itu, kita harus percaya dan mengimani, walaupun kita tidak pernah melihat keberadaan makhluk itu.

           

Adapun pontianak, pocong, hantu bungkus dan sebagainya adalah wujud dari syaitan, sekiranya memang benar itu ada. Ini tidak bererti Allah menciptakan pontianak, pocong, atau hantu bungkus, tetapi semua itu hanyalah jelmaan yang wujud dan nampak kepada manusia kerana kerja-kerja syaitan.

 

Bagaimana Dengan Orang Yang Mengaku Melihat Bayangan Jin?

 

Sebagai seorang mukmin, ketika berbicara tentang keghaiban terutama yang berkaitan dengan kehidupan jin ini, kita tidak dapat memberi pernyataan kecuali perkara itu sememangnya dijelaskan dalam Al Quran dan hadis. Dalam Surah Al-A’Raf ayat 27 dijelaskan bahawa kita tidak dapat melihat jin, sementara mereka dapat melihat kita. Itulah situasi normalnya.

 

    

“Hai anak Adam, janganlah sekali-kali kamu dapat ditipu oleh syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapamu dari syurga, ia menanggalkan dari keduanya pakaiannya untuk memperlihatkan kepada keduanya `auratnya. Sesungguhnya ia dan pengikut-pengikutnya melihat kamu dari suatu tempat yang kamu tidak bisa melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan syaitan-syaitan itu pemimpin-pemimpin bagi orang-orang yang tidak beriman.”

 

Namun, jin diberi keistimewaan oleh Allah untuk dapat menampakkan diri untuk menyerupai apapun, kecuali menyerupai diri Rasulullah. Sekali lagi, ini bukan bererti seseorang itu mampu melihat hakikat jin, tetapi jin itulah yang akan menampakkan diri. Perkara ini pernah terjadi pada zaman Rasullullah. Tetapi kalau mereka berada dalam wujud aslinya, kita sebagai manusia tidak dapat melihat mereka.

 

Dalam hadis Riwayat Imam Muslim dijelaskan bahawa sewaktu Rasullullah solat, Ifrit dari golongan jin juga menampakkan diri, menganggu sholat Rasulullah, kemudian ditangkap oleh Rasullullah. Begitu juga dengan Abu Hurairah ketika sedang menjaga harta zakat fitrah melihat jin yang menampakkan diri dan mencuri harta zakat itu. Jin itupun dapat ditangkap oleh Abu Hurairah. Persoalannya, yang kita lihat di televisyen atau media elektronik, penggambaran tentang nampaknya zahir jin ini adalah tidak sesuai dengan syariat Islam. Misalnya ketika ada jin yang menampakkan diri mereka kepada manusia, walaupun mungkin itu rekaan sahaja atau mungkin juga benar, dan ketika dilawan seolah-olah jin itu tidak tersentuh.

           

Ketika jin itu dilempar dengan sesuatu seperti melempar pada ruang kosong udara. Sedangkan sebagaimana yang diriwayatkan dalam salah satu hadis ada seorang pemuda yang bertemu ular, yang mana ianya adalah wujud zahir dari jin tersebut. Kemudian ular itu dibunuh maka jin itu pun mati. Dari sini kita mengambil kesimpulan, ketika jin menampakkan diri misalnya sebagai manusia, maka berlakulah hukum manusia. Sekiranya ditembak ia akan mati dan sekiranya kita lemparkan dengan batu ianya pasti kena dan tidak hanya tembus, seperti yang digambarkan di media selama ini.

           

Menurut Imam Mutawali Sya’rowi, jin yang tengah menampakkan diri, berada dalam keadaan lemah, ibarat ikan yang keluar dari air. Saat jin menampakkan diri, ia tengah keluar dari komuniti aslinya yang tidak dapat dilihat, maka keadaannya lemah sekali. Kerana itu mereka juga tidak akan menampakkan dirinya terus menerus atau dalam waktu yang lama, dan apabila ketika itu ada yang membunuhnya, sudah tentu dia akan mati.

 

 

Alasan Jin Menampakkan Diri

 

            Dari kes-kes yang pernah dihadapi oleh peruqyah terhadap pesakit-pesakit yang menceritakan tentang pengalaman mereka, kita dapat simpulkan bahawa jin yang menampakkan diri memang mempunyai misi utama iaitu untuk menyesatkan kita. Sering kali juga kita dengar, apabila ada orang yang meninggal secara tidak normal, hampir selalu akan ada jelmaan hantu dan sebagainya, kononnya dikatakan rohnya pulang atau menziarahi keluarganya. Padahal itu adalah penampakan yang dilakukan oleh syaitan. Bila kes seperti ini terjadi, pihak keluarga si mati mungkin melakukan suatu bentuk ritual pemujaan yang menyimpang, datang ke kubur si mati tadi dan memintanya supaya tidak mengganggu keluarganya. Inilah misi jin atau syaitan iaitu berusaha agar manusia mengambil tindakan yang salah dalam menghadapi fenomena wujudnya jin tadi dalam bentuk nyata.

           

Sebenarnya ada beberapa kemungkinan seseorang itu boleh melihat jin. Pertama, orang yang mengaku itu berbohong dan sekadar ingin mencari ‘glamour’ sahaja, sedangkan sesungguhnya dia tidak melihat. Kedua, orang tersebut tengah berada dalam keadaan lemah, dalam erti kata ketaatan dan imannya sedang berkurang. Jadi jin ingin mempermainkan dia dengan penampakan atau wujud dalam bentuk seseorang seperti malaikat, wali, orang saleh dan sebagainya agar orang yang tengah lemah iman ini salah dalam menentukan tindakannya.

 

Ketiga, yang dilihat itu sesungguhnya sekadar halusinasi saja atau orang tersebut penuh dengan imaginasi ciptaannya sendiri. Orang yang jiwanya tidak stabil, mudah melihat sesuatu tidak seperti hakikatnya. Ketika melihat daun bergoyang sahaja dia menganggap ada orang melambai-lambai. Keempat, orang tersebut memang mempunyai ilmu sihir, yang bererti dia memang berkerjasama dengan syaitan, dengan ritual-ritual yang menyimpang dari syariat Islam, hingga dapat berkomunikasi atau melihat syaitan.

           

Ramai dari orang yang mengaku mampu melihat jin itu membawa simbol-simbol Islam seperti memakai serban, membaca ayat-ayat Al Quran dan lain-lain. Inilah yang sangat kita kesalkan. Masyarakat masih sering tertipu dengan penampilan seseorang sehingga mereka tidak mengkaji samada tindakan yang dilakukan sesuai dengan syariah atau tidak. Untuk menilai kesahihan kelakukan mereka itu, kita hendaklah melihat apakah tindakan yang dilakukannya itu menurut tuntunan daripada Al Quran dan hadis atau tidak.

           

Rasulullah dalam hadis yang diriwayatkan Imam Bukhari dengan sederhana sekali menjelaskan kepada kita langkah-langkah untuk mengusir syaitan dari rumah, iaitu dengan membaca surat Al Baqarah dari awal sampai akhir. Jadi, tidak ada istilah jin itu dikejar, kemudian ditangkap dan dimasukkan ke botol. Jadi, itu semua adalah cara-cara perdukunan, meskipun yang melakukan itu berperwatakan seperti seorang ustaz.

 

Kekeliruan Media Elektronik Dalam  Memvisualisasikan Jin

 

Rancangan yang melibatkan jin dalam kehidupan manusia terutamanya di televisyen semakin marak. Bentukpun bermacam ragam. Ada yang berupa filem, drama, reality show, infotainment dan kartun untuk anak–anak. Mereka berusaha untuk menvisualisasikan keberadaan jin dan syaitan dengan cara mereka sendiri, berdasarkan pemikiran dan pemahaman yang ada atau berdasarkan cerita rakyat yang tersebar dari mulut ke mulut yang kebenarannya masih harus dipersoalkan. Cuba kita perhatikan beberapa kekeliruan-kekeliruan yang ditimbulkan oleh mereka tentang jin atau syaitan yang telah diciptakan oleh Allah sebagai makhluk ghaib ini.

 

Kekeliruan yang dimaksudkan di sini adalah penggambaran jatidiri jin yang tidak sesuai dengan syariat Islam atau yang menyimpang darinya. Sudut pandang kita adalah syariat Islam, bukan seni lakon, teknik mengambil gambar, mitos yang berkembang, budaya yang ada atau presepsi masyarakat. Walaupun tayangan-tayangan tersebut disajikan dalam bentuk hiburan dan tontonan Di antara kekeliruan televisyen dalam memaparkan kehidupan jin adalah:

 

  1. Setiap orang yang mati secara tidak normal rohnya pasti akan berterbangan

 

Yang harus kita ditegaskan di sini adalah bahawa syariat Islam tidak mengenal istilah arwah berterbangan. Ini kerana roh orang yang baik atau jahat ketika dicabut dari jasadnya, kedua-duanya telah kembali ke tempat yang telah disediakan Allah. Roh orang-orang yang shalih telah disediakan di tempat yang terpisah dari roh orang-orang kafir. Sebagaimana yang termaktub dalam kita shahih muslim 4/2202 no 2872 dalam hadis tentang tempat kembalinya roh orang mukmim dan kafir. Disebutkan nama tempat kembali keduanya sama iaitu akhirul ajal. Tetapi qodhi iyadh menjelaskan bahawa kedua kata itu berbeza erti. Roh mukmin akan kembali ke Al Malaul a’la atau Illiyyin (tempat yang paling atas) atau roh kafir kembali ke sijjin (tempat yang paling bawah). Pernyataan beliau didukung oleh hadis yang diriwayatkan oleh Baihaqi dari Abu Said Al-Khudri yang jelas menyebut sijjin sebagai tempat kembali roh kafir.

 

Jadi tidak ada roh berterbangan dalam kajian Islam. Kalau begitu, siapa yang menampakkan diri dan menyerupai orang yang telah meninggal dunia? Penampakan itu ada kerana halusinasi orang yang melihat atau memang benar-benar penampakan yang dilakukan oleh jin. Adapun halusinasi tidak masuk dalam pembahasan kita kerana kita hanya membahas penampakan jin. Memang jin mampu mengubah dirinya dalam bentuk yang dikehendaki oleh Allah sesuai dengan izin-Nya, tetapi jin tidak dapat menyerupai peribadi Rasulullah Muhammad s.a.w. “Syaitan tidak akan dapat menyerupaiku,” begitulah Rasulullah Muhammad s.a.w menegaskannya dalam hadis riwayat imam Bukhari dan imam Muslim.

 

Jadi kalau ada penampakan seperti orang yang telah meninggal, itu bukan roh orang meninggal tadi. Tapi itu adalah perbuatan syaitan untuk menyesatkan manusia. Dan jelas misi mereka telah berhasil, kerana ramai masyarakat yang termakan oleh persepsi dan pandangan yang salah tersebut. Buktinya filem tentang arwah yang berterbangan diyakini sebagai roh manusia. Kalau penampakan itu serupa dengan orang yang telah meninggal, begitu juga dengan tindakan dan tutur katanya juga sama, biasanya ia dilakukan oleh jin qarin. Jin qarin adalah jin pendamping yang mendampingi seseorang semenjak dilahirkan, sehingga ia sangat mengetahui kebiasaan dan tabiat dari manusia yang didampinginya.

Rasulullah Muhammad S.A.W bersabda, “Tidaklah seorang pun di antara kalian kecuali disertakan untuknya qarin dari jin dan qarin dari malaikat.” (HR Muslim dan Ahmad dari Ibnu Mas’ud)

 

  1. Roh yang berterbangan dapat menampakkan diri.

Roh adalah suatu yang ringan dan lembut yang bergerak dan mengalir dalam tubuh, sebagaimana air mengalir dalam tumbuhan atau api di dalam sekam. Setiap jasad yang ada rohnya masing-masing akan bertanggungjawab atas perbuatannya selama di dunia. Rasulullah Muhammad s.a.w bersabda,

 

Sesungguhnya tiap-tiap kalian dikumpulkan di dalam rahim ibunya selama 40 hari berupa nutflah, kemudian menjadi ‘alaqah selama itu juga, kemudian menjadi mudhghah selama itu juga. Kemudian diutuslah malaikat untuk meniupkan rohnya.” (HR Bukhari dan Muslim)

 

Roh yang ditiupkan ke dalam jasad adalah salah satu dari permasalahan ghaib yang hakikatnya hanya diketahui oleh Allah. Oleh itu ketika Rasulullah Muhammad s.a.w ditanya tentang roh, Allah memberinya jawaban;

 

 

“Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakanlah: “Roh itu termasuk urusan Tuhan-ku, dan tidaklah kamu diberi pengetahuan melainkan sedikit.” (QS. Al-Isra: 85)

 

Tidak ada satu ayat pun atau hadis yang menjelaskan bahawa roh yang telah keluar dari jasadnya, dapat berubah wujud menjadi jasad yang ditinggalkannya, apalagi merasuki jasad orang lain. Yang dapat berubah wujud atau menyerupai seseorang adalah jin.

 

  1. Jin yang menampakkan diri tidak dapat disakiti.

 

Seringkali kita lihat dalam televisyen yang menceritakan suasana ketakutan yang dialami oleh seseorang ketika syaitan datang menampakkan dirinya. Di dalam keadaan serba takut, orang tersebut berusaha melawan, menembak dengan senjata api, menikamnya dengan senjata tajam atau melemparnya dengan benda-benda di sekitarnya. Akan tetapi usaha tersebut hanya sia-sia belaka, malah hantu tersebut ketawa dan dengan sombongnya memperlekehkan orang tersebut. Tidak ada satupun senjata yang dapat melukainya. Semuanya hanya tembus begitu saja seperti melempar ruang kosong. Sehingga penonton berkeyakinan bahawa syaitan itu sangat hebat dan sakti kerana tidak dapat disakiti.

 

Maklumat ini jelas bertentangan dengan syariat Islam yang telah menceritakan bahawa syaitan yang berubah wujud dan menampakkan diri ternyata dapat disakiti bahkan dibunuh. Suatu ketika Abu Sa’id al-Khudri menceritakan bahawa ada seorang sahabat yang membunuh seekor ular dan ular itu mematuknya dan sahabat itu mati serta merta. Ketika peristiwa itu diceritakan kepada Rasulullah, beliau bersabda,

 

Sesungguhnya di Madinah ini ada jin yang telah masuk Islam. Oleh sebab itu, jika kalian melihat salah satu dari mereka, maka usirlah sampai batas waktu tiga hari. Jika stelah itu ia masih terlihat, maka bunuhlah kerana ia adalah syaitan.” (HR Muslim)

 

Aisyah berkata, “Ketika Rasulullah shalat, datanglah syaitan kepadanya. Lalu Rasulullah menangkapnya, menghempas dan mencekiknya. Rasulullah bersabda, “Sampai aku terasa akan lidahnya yang dingin di tanganku.” (HR. Nasai).

 

Dari dua riwayat di atas jelaslah bagi kita bahawa syaitan yang menampakkan diri pada alam manusia akan berlaku baginya hukum manusia, dapat disakiti atau kita bunuh sebagaimana yang telah dilakukan oleh seorang sahabat Rasulullah Muhammad s.a.w.

 

  1. Jin mengetahui hal yang ghaib

Termasuk yang sering diutarakan oleh media elektronik mengenai kehidupan jin adalah kehebatannya dalam mengetahui hal-hal ghaib. Bahkan kadang-kadang berlebihan dan dibesar-besarkan sehingga ketika ada masalah yang berkaitan dengan keghaiban, maka cara penyelesaiannya hendaklah melalui proses perdukunan seperti nasib seseorang pada masa yang akan datang, jodohnya atau kejayaan yang akan diraih. Ini kerana mereka menyakini bahawa dukunlah yang mempunyai kekuasaan atas jin, sehingga diyakini dapat menyelesaikan masalah ghaib yang mereka hadapi. Adanya program televisyen seperti ini dapat menjauhkan para penonton untuk bergantung nasib kepada Allah semata-mata. Secara umum hakikat jin ini adalah seperti manusia dalam masalah keghaiban, mereka tidak mengetahui hal-hal ghaib secara mutlak atau hakiki. Jin telah mengakui hal itu dalam Al Qur’an,

 

 

Dan sesungguhnya kami tidak mengetahui (dengan adanya penjagaan itu) apakah keburukan yang dikehendaki bagi orang yang di bumi ataukah Tuhan mereka menghendaki kebaikan bagi mereka.” (QS, al-Jin: 10)

Bahkan Allah telah menunjukkan kepada kita akan kebodohan jin terhadap perkara yang ghaib, termasuk kematian seseorang.

 

 

Maka tatkala kami telah menetapkan kematian Sulaiman, tidak ada yang menunjukkan kepada mereka kematiannya itu kecuali anai-anai yang memakan tongkatnya. Maka tatkala ia tersungkur, jin baru mengetahuinya kalau sekiranya mengetahui hal yang ghaib tentulah mereka tidak tetap dalam seksa yang menghinakan.” (QS. Saba’: 14).

      Para jin itu baru mengetahui kematian Nabi Sulaiman, setelah anai-anai memakan tongkatnya dan kemudian dia jatuh tersungkur. Inilah bukti kukuh bahawa jin tidak mengetahui hal yang ghaib, tidak seperti yang digambarkan di dalam televisyen, seakan-akan jin dapat mengetahui isi hati dan nasib manusia. Itulah persepsi yang salah dan harus diperbetulkan.

 

  1. Jin takut terhadap benda-benda yang dikeramatkan.

Itulah persepsi yang berhasil diwujudkan oleh televisyen atau media massa. Merekalah yang sering menampilkan beragam bentuk azimat yang digunakan oleh pemiliknya untuk mengusir jin. Mereka juga memberitahu kepada masyarakat bahawa dukun dan azimat yang dimilikinya itu dapat menghalau syaitan. Itulah cerita mistik dan menyesatkan yang dihembuskan oleh syaitan melalui media. Sedar atau tidak, tayangan seperti itu mengajak penontonnya untuk pergi mendapatkan rawatan ke dukun atau paranormal. Padahal Rasulullah s.a.w telah menegaskan dengan sangat jelas melalui hadis di bawah.

 

Barangsiapa yang memakai (menggantungkan) azimat maka ia telah syirik.”(HR Ahmad dan dishahihkan Al Albani)

      Yang menciptakan syaitan adalah Allah. Allah yang paling mengetahui tentang apa saja yang disukai syaitan atau yang ditakutinya. Tidak ada satupun ayat dan hadis Rasulullah yang menjelaskan bahawa syaitan takut pada azimat, isim, wafaq, rajah dan benda-benda pusaka dan yang sejenisnya. Yang dijelaskan oleh syariat Islam adalah syaitan takut terhadap bacaan ayat-ayat suci Al Qur’an atau doa-doa Rasulullah Muhammad s.a.w. Sabda Rasulullah;

 

Sesungguhnya syaitan akan pergi dan lari dari rumah yang di dalamnya dibacakan surat al-baqarah.” (HR Muslim).

 

Dalam hadis lain Rasullah menjelaskan;

 

Apabila kamu hendak tidur di pembaringan, bacalah ayat kursi sampai habis, kerana Allah senantiasa menjagamu dan syaitan tidak akan mendekatimu sampai pagi.” (HR Bukhari dari Abu Hurairah).

 

Itulah cara mengusir syaitan dan membentengi diri dari gangguan syaitan yang disyariatkan oleh Islam, bukan azimat sumber-sumber lain dari dukun.

 

6.Apakah jin boleh dilihat oleh manusia?

 

Allah S.W.T. berfirman yang ertinya, “Sesungguhnya dia dan pengikut-pengikutnya melihat kamu dari suatu tempat yang kamu tidak dapat melihat mereka.” (Al-A’raf: 27).

 

Ayat ini difahami oleh sekian ramai ulama sebagai dalil ketidakmungkinannya manusia melihat jin. Imam Syafii menegaskan, bahawa berdasarkan ayat di atas, manusia tidak mungkin melihat jin. “Siapa yang mengaku dapat melihat jin, maka kami tolak kesaksiannya, kecuali nabi.” (Maksud ucapan ini adalah yang mengaku melihat jin dalam bentuk yang aslinya. Adapun yang mengaku melihat jin setelah berubah bentuk dengan aneka bentuk makhluk, maka kesaksiannya dapat diterima).

 

Sebahagian yang lain mengakui bahawa jin dapat dilihat oleh manusia jika jin berubah dengan bentuk makhluk yang dapat dilihat oleh manusia. Pendapat ini didukung oleh riwayat-riwayat yang menginformasikan bahawa para sahabat Nabi s.a.w., tabi’in, dan ramai ulama pernah melihat makhluk-makhluk halus, tetapi dalam bentuk manusia atau binatang.

 

Imam Muslim meriwayatkan dalam kitab sahihnya bahawa sahabat-sahabat Nabi s.a.w. pernah melihat Malaikat Jibril ketika dia datang dalam bentuk manusia. Umar bin Khattab menuturkan bahawa suatu ketika datang seorang yang tidak dikenali, berpakaian sangat putih, rambut teratur rapi, tidak nampak dari penampilannya tanda-tanda bahawa dia datang dari perjalanan jauh. Orang itu bertanya kepada Nabi s.a.w. tentang Islam, iman, dan ihsan. Setiap Nabi s.a.w. menjawab, dia membenarkannya. Dia juga bertanya tentang kiamat dan tanda-tandanya. Umar r.a. dan juga sahabat-sahabat Nabi s.a.w. yang mendengarnya kehairanan. Bagaimana seorang yang berpenampilan rapi, berpakaian bersih, yang bererti bahawa yang bersangkutan tidak datang dari tempat jauh atau dengan kata lain dia adalah penduduk setempat tetapi tidak mereka kenal? Mereka juga kehairanan mengapa setiap pertanyaannya yang dijawab oleh Nabi s.a.w., selalu yang bertanya itu sendiri yang membenarkannya. Ketika percakapan Nabi s.a.w. dan pendatang itu selesai, Nabi s.a.w. bertanya kepada para sahabatnya, “Tahukah kalian, siapa yang datang tadi?” Mereka menjawab, “Allah dan Rasul-Nya yang tahu. Nabi saw. menjelaskan, “Itulah Jibril datang mengajar kalian agama kalian.” Mendengar penjelasan Nabi s.a.w. itu, Umar r.a. bergegas keluar hendak melihatnya, tetapi dia telah menghilang.

 

Nah, jika demikian, malaikat dapat dilihat, tetapi bukan dalam bentuk aslinya. Dia dapat dilihat apabila mengambil bentuk yang memungkinkan untuk dilihat manusia.

 

 

Demikian halnya dengan jin, ia dapat dilihat bukan dalam bentuk aslinya, tetapi bila ia mengambil bentuk yang sesuai dengan potensi penglihatan manusia. Riwayat-riwayat tentang hal ini sangat banyak. Bahkan, tidak hanya ulama, orang-orang biasa yang tidak ahli agama pun banyak yang mengalami melihat jin dalam bentuk makhluk (manusia atau lainnya). Dan, di antara mereka ada yang sengaja dengan sunguh-sungguh ingin melihat jin, mereka mengamalkan amalan dari orang-orang yang dianggap ahli dalam hal itu, dan mereka ada yang berhasil mendapatinya bahwa jin dapat dilihat dalam bentuk makhluk.

 

Selain itu, ada beberapa hadis Nabi s.a.w. yang menginformasikan bahawa ada binatang yang dapat melihat jin. Dalam sahih Bukhari dan Muslim, sahabat Nabi Abu Hurairah menyampaikan bahawa Nabi s.a.w. bersabda, “Kalau kalian mendengar suara ayam jantan berkokok, maka mohonlah kepada Allah anugerah-Nya, kerana ketika itu dia melihat malaikat, dan jika kalian mendengar teriakan keldai, maka mohonlah perlindungan kepada Allah dari godaan syaitan, kerana ketika itu dia melihat syaitan.”

 

  1. Jin takut kepada sinar matahari.

Beberapa tayangan televisyen yang melibatkan jin dalam jalan cerita mereka, sering digambarkan bahawa jin atau syaitan itu takut pada sinar matahari. Digambarkan ada jin yang mendatangi seseorang dan menampakkan diri mereka. Dengan berbagai cara dia cuba menimbulkan ketakutan pada orang tersebut dengan menampakan mukanya yang hodoh dan menyeramkan, badannya dan bentuknya yang mengerikan. Dan ketika ada ayam yang berkokok menandakan fajar menyingsing dan matahari akan terbit, maka syaitan tadi pun lari ketakutan dan meninggalkan orang tersebut. Mungkin ini termasuk mitos agama dari agama Majusi yang menjadikan matahari sebagai tuhan dan mereka percaya bahawa sinar matahari pasti akan ditakuti syaitan sebagaimana kepercayaan Ratu Balqis, isteri kepada Nabi Sulaiman dan kaumnya sebelum menerima Islam seperti yang diabadikan di dalam Al Qur’an Surah An Naml ayat 24.

 

 

“Aku mendapati dia dan kaumnya menyembah matahari, selain Allah; dan syaitan telah menjadikan mereka memandang indah perbuatan-perbuatan mereka lalu menghalangi mereka dari jalan (Allah), sehingga mereka tidak dapat petunjuk.”

 

 

Tapi benarkah syaitan itu takut terhadap sinar matahari? Dalam sebuah hadis Rasulullah Muhammad S.A.W. bersabda,

 

Sesungguhnya matahari terbit antara dua tanduk syaitan dan tenggelam antara dua tanduk syaitan.” (HR Bukhari dan Muslim)

 

Jadi, bagaimana kita dapat mengambil kesimpulan bahawa syaitan itu takut kepada matahari sedangkan matahari itu terbit dan tenggelam di antara dua tanduk syaitan? Manusia itu sentiasa belajar dari apa yang dilihat dan didengar dan yang dirasakan. Maka, janganlah kita menganggap mudah terhadap tayangan televisyen yang ada, kerana sedikit sebanyak tindakan dan pola berfikir kita akan diwarnai dengan maklumat yang bercelaru di sekitar kita. Orang yang suka melihat rancangan mistik dan berbentuk perdukunan, maka cara orang tersebut dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi tidak akan lari dari dukun. 

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s