PENGENALAN

waterfountain

PARANORMAL: DARI SUDUT AGAMA, SAINS DAN KEPERCAYAAN

Paranormal adalah gabungan dua perkataan iaitu para yang bermaksud menjangkaui dan perkataan normal yang merujuk kepada pola atau keadaan yang lazim. Istilah paranormal pada masa ini sememangnya sering dikaitkan dengan kejadian yang berpunca daripada makhluk ghaib. Definisi hantu menurut Oxford Fajar Kamus English-Melayu ialah roh orang mati yang muncul di hadapan seseorang yang masih hidup. Definisi entiti menurut Dewan Bahasa & Pustaka ialah sesuatu yang mempunyai kewujudannya yang tersendiri, jin-makhluk halus; ifrit-roh jin yang jahat; syaitan-makhluk halus yang jahat dan roh-bahagian dalam manusia yang mempunyai daya, benda hidup berjasad (malaikat, jin, syaitan) semangat dan jiwa.

Paranormal juga mencipta nama bagi segelintir kumpulan yang mencari dan cuba mengkaji mahkluk halus ini seperti kumpulan MADINATUL ASRAR INVESTIGASI SUPERNATURAL,VAMPS,PAG dan beberapa lagi kumpulan di Malaysia. Malah terdapat beratus-ratus lagi persatuan dan pertubuhan di luar negara yang turut mengkaji fenomena paranormal. Walau bagaimanapun kajian mengenai paranormal ini kadangkala ditolak oleh ilmu sains kerana fenomena tersebut tidak boleh dibuktikan secara saintifik. Kertas kerja ini akan lebih menjurus kepada kewujudan makhluk-makhluk ghaib yang kebanyakannya akan berpaksikan kepada Al-Quran dan Hadis serta dikaitkan dengan penggunaan peralatan atau perkakasan berteknologi moden.

Walau bagaimanapun masih terdapat kekeliruan atau percanggahan pendapat mengenai kewujudan paranormal. Kebanyakan para pengkaji paranormal dari barat berpendapat bahawa hantu adalah roh orang yang telah mati. Namun begitu dari sudut agama pula hantu adalah dari golongan-golongan jin seperti yang terdapat di dalam Al Quran. Percanggahan pendapat ini mungkin disebabkan pengetahuan manusia biasa dalam kewujudan makhluk ghaib ini adalah begitu sedikit dan tidak menyeluruh.

Seperti dalam firman Allah:

Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh, katakan ’Roh itu dari perkara urusan Tuhanku, dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja’(Surah Al-Israa’ : 85)

Dalam membincangkan topik ini, kita tidak boleh lari dari sudut keagamaan. Dalam ajaran Islam, manusia adalah salah satu makhluk yang diciptakan oleh Allah S.W.T. Selain itu juga kita perlu mengetahui dan mempercayai akan kewujudan makhluk-makhluk lain yang juga diciptakan oleh Allah S.W.T. Dengan mengkaji kewujudan makhluk-makhluk ghaib maka kita akan lebih mengetahui akan hakikat kejadian mahkluk tersebut secara umum di mana kajian ini juga akan terbatas dengan kekayaan dan kekuasaan ilmu dari Allah S.W.T. yang sesungguhnya lebih luas dan tidak mampu dicakupi oleh pemikiran manusia.

KEWUJUDAN MAKHLUK GHAIB

Syaitan-300x225

Foto Sekadar Hiasan

Di dalam Islam, roh itu sering dikaitkan dengan manusia dan tidak boleh dilihat dengan mata kasar, manakala yang dilihat dengan mata kasar saban hari ialah jasad dan roh itu sebenarnya terselindung disebalik jasad. Tatkala manusia itu sudah sampai ajalnya maka nyawa atau roh tadi akan ‘diambil’ oleh Tuhan dan yang tinggal hanyalah jasad manusia tadi. Pengkaji Barat juga mengakui akan kewujudan roh dalam diri jasad manusia selain emosi dan minda . Oleh itu dapat disimpulkan bahawa di dalam Islam makhluk ghaib ciptaan Tuhan itu terdiri daripada roh(manusia), malaikat, dan jin.

Langkah pertama untuk memahami perkara ghaib itu ialah manusia perlu menanam sikap mempercayai akan kewujudan perkara ghaib ini terlebih dahulu. Beriman kepada perkara yang ghaib sebenarnya telah lama menjadi pegangan agama Islam yang antara lain menuntut umatnya untuk mempercayai akan hari akhirat dan mempercayai kewujudan malaikat yang mana kesemua ini adalah perkara ghaib yang tidak dapat dibayangkan dan dilihat dengan mata kasar manusia apatah lagi untuk merasainya.

Makhluk-makhluk ghaib yang akan dibincangkan termasuklah jin, syaitan dan iblis. Keturunun jin adalah berasal daripada ’Jaan’ yang pada mulanya adalah makhluk Allah S.W.T yang beriman kepadaNya. Keturunan ’Jaan’ terbahagi kepada dua iaitu yang beriman kepada Allah S.W.T dan yang kufur kepada Allah S.W.T. Makhluk ghaib yang diciptakan oleh Allah S.W.T adalah tidak berjisim dan justeru itu tidak dapat dilihat dan dirasai oleh kebanyakan manusia. Kejadiannya juga adalah berbeza iaitu malaikat dijadikan daripada cahaya manakala jin, iblis dan syaitan adalah daripada api (Haron Din, 1990). Antara surah-surah dari Al-Quran yang menerangkan mengenai kejadian jin ialah :

Dan ia telah menciptakan jin dari lidah api yang menjulang-julang.
(Surah Ar-Rahmaan : 15)

“Apakah halangan yang menghalangmu daripada sujud ketika Aku memerintahkanmu?” Iblis memjawab: “Aku lebih baik daripada Adam, Engkau (wahai Tuhan) jadikan aku daripada api, sedangkan Engkau jadikan dia dengan tanah”.(Surah Al-A’raaf : 12)

Dan jin pula, Kami jadikan dia sebelum itu, dari angin api yang panasnya menyerap ke liang bulu roma.(Surah Al-Hijr : 27)

 

Mempercayai kewujudan makhluk-makhluk ghaib adalah harus sebagaimana firman Allah S.W.T.:

Al-Quran itu tidak ada keraguan padanya, menjadi petunjuk bagi mereka yang bertakwa iaitu mereka yang beriman kepada yang ghaib, yang mendirikan sembahyang dan menggunakan sebahagian rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka.(al-Baqarah, 2-40)

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud ’Malaikat diciptakan daripada cahaya, jin diciptakan daripada nyalaan api sedangkan Adam diciptakan dari sesuatu yang telah menjadi sifat bagimu’(Hadis riwayat Muslim)

Ada pendapat yang mengatakan bahawa rupa bentuk jin tidak banyak berbeza daripada kejadian manusia, iaitu mereka mempunyai jantina, mata, hidung, tangan, kaki, telinga dan sebagainya. Pada dasarnya 80 hingga ke 90 % jin menyerupai manusia. Cuma yang berbezanya fizikal jin adalah lebih kecil dan halus daripada manusia. Bentuk tubuh mereka itu ada yang pendek, terlalu tinggi dan mempunyai pelbagai warna seperti putih, merah, biru, hitam dan sebagainya. Jin kafir dan jin Islam yang fasik itu mempunyai rupa yang hodoh dan menakutkan. Manakala jin Islam yang soleh pula mempunyai rupa paras yang elok. Ketinggian jin yang sebenarnya adalah kira-kira tiga hasta sahaja. Pengetahuan mereka lebih luas dan mempunyai umur yang panjang sehingga mecapai ribuan tahun. Kecepatan jin bergerak adalah melebihi gerak cahaya dalam satu saat. Memandangkan jin adalah terdiri daripada makluk yang seni dan tersembunyi, tidak zahir seperti manusia dan tidak sepenuhnya ghaib seperti malaikat, maka ruang yang kecil pun boleh diduduki oleh berjuta-juta jin dan ianya juga boleh memasuki dan menghuni tubuh badan manusia. Rasulullah SAW telah bersabda:

Jin itu ada 3 golongan. Satu golongan mempunyai sayap yang boleh terbang di angkasa, satu golongan berupa ular dan satu golongan lagi berpindah dan bertempat.(Hadis riwayat Imam At-Tabrani)

Jumlah jin terlalu ramai sehingga menurut sesetengah pendapat bilangannya ialah jumlah semua manusia daripada Nabi Adam hingga ke hari kiamat di darab dengan haiwan-haiwan, di darab dengan batu-batu, di darab dengan pasir-pasir dan semua tumbuh-tumbuhan manakala jumlah keseluruhan Malaikat hanya Allah dan Rasulnya sahaja yang lebih mengetahuinya. Rasulullah SAW bersabda :

Allah menjadikan para malaikat, jin dan manusia kepada sepuluh bahagian. Kadar bilangan malaikat adalah 9/10 sedangkan kadar jin dan manusia itu hanya 1/10. Dan kemudian daripada satu bahagian yang terakhir dipecahkan pula kepada sepuluh bahagian kecil; 9 bahagian kecil daripadanya adalah bilangan jin manakala satu bahagian lagi adalah manusia.

Terdapat beberapa perbezaan di antara jin, ifrit, syaitan dan iblis walaupun mereka adalah tergolong dalam golongan jin. Contohnya jin merupakan makhkluk yang tersembunyi, berpengetahuan luas dan mempunyai usia yang panjang. Ifrit pula adalah golongan jin yang sangat kuat, bijak menipu, sombong, derhaka kepada Allah dan amat membenci manusia. Seperti dalam firman Allah mengenai peristiwa Nabi Sulaiman a.s. dengan Ratu Sabak:

Berkatalah ifrit dari golongan jin ’Aku akan membawakannya kepadamu sebelum engkau bangun dari tempat dudukmu dan sesungguhnya aku amatlah kuat gagah untuk membawanya, lagi amanah’(Surah An-Naml : 39)

Iblis dan syaitan merupakan golongan jin yang sombong, derhaka dan menjadi musuh utama manusia. Sesetengah ulama berpendapat, iblis asalnya bernama Azazil yang merupakan jin yang paling alim dan menjadi ketua ahli ibadat kepada jin dan malaikat. Namun disebabkan keangkuhan dan takbur maka Allah telah melaknatnya menjadi kafir dengan nama iblis. Bermula pada saat itulah iblis memusuhi manusia sehingga hari kiamat.

Firman Allah :

Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh dari syaitan-syaitan manusia dan jin, setengahnya membisikkan kepada setengahnya yang lain kata-kata dusta yang indah-indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya…(Surah Al-Anaam : 112)

 

KEPERCAYAAN TERHADAP HANTU OLEH MASYARAKAT MELAYU

gangguan-jinFoto Sekadar Hiasan

Kepercayaan terhadap makhluk halus di kalangan masyarakat Melayu telah menjadi perbualan dari generasi ke generasi. Menurut orang Melayu, jin mempunyai beberapa nama dan gelaran menurut perwatakan dan rupa bentuk penjelmaan mereka. Mengikut pendapat orang tua-tua, kononnya hantu (gelaran orang) adalah iblis atau syaitan yang dilaknati Allah dan akan menjelma dalam pelbagai bentuk yang menakutkan. Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa hantu berasal daripada manusia yang mengamalkan ilmu-ilmu sesat. Jika ditanya secara spontan mengenai hantu kepada masyarakat kita maka mereka mengatakan bahawa hantu adalah lembaga yang menakutkan, bertaring, berwajah hodoh, terbang melayang sehinggakan ada yang berpendapat hantu boleh mencederakan malah membunuh manusia.

Ada juga mengatakan hantu berasal daripada roh-roh orang yang telah meninggal dunia secara kejam dan teraniaya. Kebanyakan nama jin dimulai dengan hantu dan hantu sebenarnya adalah terdiri daripada golongan jin. Pelbagai nama diberikan seperti hantu pontianak, hantu polong, hantu langsuir, hantu penanggal, hantu toyol, bajang, hantu tinggi, hantu raya, hantu air, hantu bukit, hantu kubur, hantu pari, hantu punjut, hantu jerangkung, hantu kopek, hantu pelesit dan pelbagai lagi. Mengikut kepercayaan orang Melayu, makhluk-makhluk yang disebut tadi mempunyai kelemahan tertentu dan terdapat beberapa petua yang kononnya dipercayai dapat melemahkan mahkluk tersebut:

· Toyol suka bermain-main dengan ketam dan akan leka untuk mencuri. Makhluk yang dipercayai bersaiz kanak-kanak ini juga akan lemah ketika berhadapan dengan cermin.

· Hantu tinggi yang dipercayai bersaiz mencecah langit akan lemah jika manusia tahu dan meneriak akan asal usulnya iaitu orang mati akibat sesat di hutan. Ada juga manusia yang boleh menjadi ‘tuan’ kepada hantu tinggi jika berjaya mencabut bulu kakinya sewaktu berhadapan dengannya dan hantu ini akan menurut segala permintaan tuannya.

· Hantu raya dipercayai menyerupai tuannya dan boleh melakukan pelbagai perkerjaan yang rumit dalam masa yang singkat. Dipercayai juga jika tuannya bersembahyang maka ia juga akan turut bersembahyang. Kononnya badan dan matanya merah menyala seperti api dan perlu dijamu dengan makanan dalam setahun sekali seperti pulut, telur ayam dan ayam panggang.

· Pontianak pula adalah sejenis hantu yang menjelmakan dirinya sebagai perempuan cantik dan hanya suka menggoda dan menggangu orang lelaki serta sering mengganggu di tempat yang sunyi dan lengang.

· Pelesit pula dipercayai dipelihara oleh orang perempuan yang menuntut ilmu syaitan dan dia akan kelihatan cantik di mata suaminya. Orang yang menjadi mangsa pelesit akan menjerit-jerit dan seperti kehilangan akal. Kononnya perempuan yang membela pelesit tidak berani untuk masuk ke rumah yang menyimpan kacip pinang dan apabila berbual akan sentiasa tunduk ke bawah.

Dari segi amalan masyarakat Melayu dalam menghindari daripada gangguan mahkluk tersebut, terdapat pelbagai cara dan petua seperti berikut:
· Jika balik rumah pada lewat malam dinasihatkan ludah ke belakang sewaktu masuk ke rumah atau masuk ke rumah dalam keadaan membelakangkan badan.
· Bunyi cicak ketika memasuki rumah kosong menandakan ada makhluk lain dalam rumah tersebut.

· Meletakkan jarum dalam beg duit agar tidak dicuri oleh toyol.
· Menyapu minyak celak di kening kanak-kanak bawah umur setahun untuk mengelakkan daripada melihat makhluk halus.

Walaubagaimanapun petua-petua tersebut adalah melalui kepercayaan turun-temurun dan menjadi amalan sesetengah masyarakat Melayu dan kadangkala petua tersebut perlu disemak agar tidak menyalahi ajaran agama Islam.

PENGARUH MAKHLUK HALUS TERHADAP MANUSIA

meminta-bantuan-jin-460x250

Foto Sekadar Hiasan

Manusia sering mengambil jalan yang mudah untuk sesuatu tujuan dengan bersahabat dengan jin dan syaitan. Jin kafir yang digunakan ini boleh mendatangkan kesan yang negatif kepada orang yang ‘dibuat’ seperti kesakitan, kerunsingan dan kadangkala boleh membawa maut. Persahabatan dengan jin dan syaitan adalah didasarkan kepada suatu bentuk perjanjian dan sesungguhnya persahabatan tersebut tidak membawa kepada sebarang kebaikan malah akan dilaknati oleh Allah S.W.T. Jin boleh merasuk dan masuk ke dalam diri manusia dengan pelbagai cara dan manusia yang mengunakan khidmat jin untuk melakukan pengkhianatan kepada manusia lain pun melalui pelbagai cara. Firman Allah :

‘Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang dari manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat.(Surah Al-Jinn : 6)

Rasulullah pernah bersabda yang maksudnya :

“Sesungguhnya Syaitan (Jin) itu berjalan dalam tubuh anak Adam sebagaimana darah yang yang mengalir dalam tubuhnya”.(Hadis riwayat Sayidah Syafiyyah Binti Huyay)

Dari hadis di atas jelaslah bahawa jin dapat masuk ke dalam tubuh badan manusia dan terus sampai ke urat nadi dan darah manusia. Jin dapat berjalan dalam tubuh manusia seperti arus eletrik mengalir dalam kabel penyalurnya. Jika kemasukannya ke dalam tubuh badan itu dengan niat jahat maka ia akan cuba mengganggu sistem saraf yang kadangkala mendatangkan kesakitan. Ada juga jin yang sengaja menghuni anggota badan manusia untuk beberapa tempoh tertentu sebagai tempat tinggal. Jin juga boleh meresap ke dalam binatang-binatang liar seperti anjing dan ular tedung. Rasulullah S.A.W bersabda :

Di dalam rumah-rumah itu terdapat penghuni-penghuni (jin), maka jika kamu sekalian melihat sesuatu, maka usirlah tiga kali. Kalau ia pergi biarkanlah, tetapi jika ia berdegil maka bunuhlah sebab ia pasti jin kafir.(Riwayat Muslim)

Dalam alam jin, terdapat pelbagai kumpulan jin yang sering bersaing untuk menentukan kekuatan masing-masing. Persahabatan manusia dengan jin yang lemah untuk tujuan kejahatan mungkin tidak boleh mengatasi atau menandingi manusia yang bersahabat dengan jin yang kuat. Contoh tujuan penggunaan jin oleh manusia adalah seperti melariskan perniagaan dan mempertahankan diri. Makanan jin adalah daripada api (asap). Oleh sebab itulah orang Melayu sering menggunakan kemenyan dalam perubatan alternatif bagi tujuan memanggil kerana jin amat menyukai dengan asap yang busuk. Tempat tinggal jin pula adalah seperti di awan, sungai, hutan, lombong, laut, tempat-tempat tinggi, tandas, rumah kosong dan kubur.

Syaitan dan iblis pula menggangu manusia dengan cara membisikkan atau mempengaruhi minda dan jiwa. Ia cuba untuk mempengaruhi manusia untuk membuat maksiat, kemungkaran serta perkara-perkara yang dilaknati Allah S.W.T. Syaitan dan iblis yang diciptakan oleh Allah sebelum manusia telah berjanji akan menghuru-harakan kehidupan manusia. Seperti firman Allah :

Syaitan sentiasa menjanjikan mereka (dengan janji-janji indah) serta memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong dan apa yang dijanjikan oleh syaitan itu tidak lain hanyalah tipu daya semata-mata.(Surah An-Nisaa’:119)

Kita perlu berwaspada kerana syaitan dan iblis boleh menyerupai manusia, benda-benda fizikal, binatang berbisa malahan para ulama dan guru. Syaitan dan iblis juga mempunyai tugas-tugas masing-masing untuk mempengaruhi manusia, contohnya ada syaitan yang ditugaskan untuk melengahkan manusia daripada sembahyang subuh. Seringkali kita pernah mendengar kisah mengenai mayat yang telah dikebumikan pulang ke rumah. Sesungguhnya manusia yang telah meninggal dunia tidak akan hidup kembali dan di sinilah peranan syaitan dan iblis dalam menghuru-harakan kehidupan manusia.

Jin boleh memasuki badan manusia sama ada dipinta sendiri oleh manusia atau tanpa disedari oleh manusia itu sendiri. Jin mendampingi dan memasuki manusia melalui salah satu cara yang berikut.

1. Melalui Khadam atau manusia itu sendiri menjadikan jin sebagai sahabatnya.

2. Melalui ’saka’.

3. Melalui shir yang dilakukan oleh manusia lain ke atasnya.

4. Kerana manusia itu sendiri lalai dari mengingati Allah S.W.T atau melakukan perkara yang dilarang oleh Allah S.W.T, bererti mendekatkan diri untuk dikuasai oleh jin dan ifrit.

5. Melakukan kejahatan terhadap jin tertentu seperti menjatuhkan sesuatu benda berat di sesuatu tempat yang ada jin, tanpa menyebut nama Allah S.W.T sehingga menyebabkan kematian anak jin.

6. Kerana adanya jin lelaki yang jatuh cinta kepada seorang perempuan yang suka bersolek atau wanita-wanita yang suka keluar rumah untuk memperlihatkan kecantikannya dan tidak memakai tudung serta suka mendedahkan aurat.

7. Melalui pengamalan jampi serapah, doa dan ayat-ayat tertentu yang boleh mendatangkan jin.

Menurut Amran Kasimin (2006), jin boleh mengganggu manusia menerusi roh manusia; jin boleh mengetahui kekuatan roh manusia iaitu ada nur (cahaya iman) atau tidak. Pada satu peringkat lagi, ada jin yang boleh mengganggu fizikal manusia seperti mencakar manusia ketika mengubat orang yang diresapi jin.

Manusia yang selamat dari gangguan jin, iblis dan syaitan adalah manusia yang sentiasa berada dalam tauhid Allah S.W.T, melalui lidah, anggota dan hati dan mereka yang berakhlak seperti Rasulullah s.a.w. serta beramal dengan syariat Islam. Jalan paling dekat untuk berada dalam tauhid Allah S.W.T. ialah dengan kita mengambil contoh perbuatan dan kelakuan mereka yang setiap waktu dan masa berada dalam tauhid Allah S.W.T, seperti Nabi Muhammad, sahabat-sahabat baginda, para ulama dan sebagainya seperti firman Allah S.W.T.:
Sesungguhnya syaitan itu tidak mempunyai sebarang pengaruh terhadap orang-orang beriman dan yang berserah bulat-bulat kepada tuhan mereka.(Surah An-Nahl : 99)

’…Sesungguhnya kami telah menjadikan syaitan-syaitan itu teman rapat bagi orang-orang yang tidak beriman’(Surah Al-A’Raaf : 27)

 

KAJIAN MODEN MENGENAI PARANORMAL

Sememangnya diakui bahawa subjek kerohanian ini merupakan sesuatu yang provokatif. Walaubagaimanapun, pengkajian alam ghaib pada hari ini bukan sesuatu yang terpencil, ini kerana terdapat pelbagai individu dan organisasi termasuk intitusi pengajian tinggi yang mengorak langkah untuk memikul tanggungjawab bagi memahami dan mengkaji alam ghaib atau paranormal ini menggunakan kaedah saintifik. Sebagai contoh terdapat sebuah institusi pengajian tinggi di England iaitu Goldsmiths College yang menjadi sebahagian daripada University of London, telah mewujudkan sebuah unit penyelidikan di bawah seliaan Professor Christopher C. French bagi mengkaji kejadian paranormal. Walaupun pasukan ini memberi fokus kepada aspek pengalaman individu yang telah melalui peristiwa paranormal, namun usaha mereka memperlihatkan langkah positif untuk memahami dan mengkaji kejadian alam ghaib.

Alam ghaib ialah sesuatu yang tidak boleh dilihat dan ada perkara berkenaan alam ghaib ini yang tidak boleh digambarkan sama sekali dengan akal manusia yang sedia ada seperti syurga dan neraka yang dibawa oleh Islam dan kebanyakan agama di dunia ini. Rohani pula ialah makhluk atau entiti yang menjadi sebahagian daripada alam ghaib ini. Oleh itu spiritual yang sering dikaitkan dengan manusia boleh digolongkan ke dalam kategori makhluk ghaib atau juga sering disebut sebagai makhluk halus oleh kebanyakan orang di negara ini.

Pengkaji paranormal moden banyak bergantung kepada peralatan dalam usaha menjejaki kewujudan makhluk halus. Istilah yang sering digunakan dalam mentafsirkan kewujudan makhluk halus ialah seperti orbs, ektoplasma, vorteks dan sebagainya. Orb dikatakan sebagai suatu bentuk tenaga yang pernah mendiami tubuh manusia semasa hidup. Sesetengah pendapat lain mengatakan orb adalah sejenis hidupan mikro organisma yang tidak mampu dilihat dengan mata kasar. Ekstoplasma pula berbentuk seperti kabus, asap atau wap yang selalu kelihatan pada waktu malam. Ia dapat dirakam dengan menggunakan kamera digital atau perakam video digital. Ektoplasma sering ditemui di kawasanperkuburan atau di kawasan bersejarah. Vorteks pula berbentuk panjang dan bercahaya putih. Pengkaji paranormal barat mengatakan bahawa terdapat penurunan suhu ketika kehadiran vorteks. Vorteks juga sering ditemui di dalam sesebuah kediaman dan bangunan lama.

Waktu dan tarikh yang sesuai untuk mengadakan kajian turut diutamakan melalui rujukan kepada kalendar lunar. Kalendar lunar merupakan satu panduan untuk menentukan tarikh bulan penuh kerana adalah dipercayai sewaktu kitaran bulan penuh, sinaran bulan akan memancarkan sinaran gelombang elektromagnet ke bumi secara terus serta membekalkan tenaga elektromagnet dan fenomena ini memungkinkan aktiviti paranormal akan lebih aktif. Keadaan cuaca juga mempengaruhi aktiviti paranormal kerana cuaca yang berbeza akan mempengaruhi suhu persekitaran. Oleh sebab itulah banyak filem-filem seram yang ditayangkan banyak menggunakan tema bulan penuh atau mengambang sebagai melambangkan klimaks situasi seram. Di barat, fenomena ini disokong dalam satu kajian sains di barat yang berpendapat bahawa roh dari dimensi lain akan kembali ke dunia asal berulang kali untuk mendapatkan lebih banyak tenaga elektromagnet bagi perjalanan ke dimensi yang lebih tinggi lagi.

Dalam kajian lain menunjukkan saintis barat mula mempercayai kewujudan makhluk halus melalui teori Parallel Dimension. Pada pendapat mereka setiap individu mempunyai dirinya di dimensi lain dan jarak dunia sekarang dan dimensi lain ialah hanya 15mm. Setakat ini para saintis dan ahli fizik hanya mengenalpasti kewujudan 12 dimensi lain yang wujud selari dengan dunia fizikal. Para pengkaji paranormal barat juga berpendapat bahawa roh manusia akan berada di dimensi yang lain tetapi berdekatan dengan dimensi manusia di mana kadangkala gambar foto yang diambil dapat merakam fenomena tersebut. Sebagai contoh, kononnya ada individu yang melihat hantu berjalan menuju ke dinding dan terus lenyap ke dalam dinding tersebut. Ini menunjukkan kemungkinan dinding tersebut merupakan pintu kepada makhluk tersebut untuk menembusi ke dimensinya. (Dave Oester, 2005). Malah pakar-pakar psikologi barat menyatakan :

’Dream are the gateway to an inner world, a world just as real as the one outside. What is outside is also inside; what is inside is also inside’ – (Reader’s Digest. 1979. How to interpret your dreams. Reader’s Digest Association Far East Ltd)

Di dalam ajaran Islam, berdasarkan hadis berikut, Rasulullah SAW telah bersabda:

Tidaklah salah seorang daripada kamu (yang lahir ke dunia) melainkan dia telah dipertemankan dengan seorang kawannya daripada jin dan seorang kawannya daripada kalangan malaikat. Sahabat bertanya; Adakah engkau juga wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Dan saya pun. Akan tetapi Allah menolong saya daripada gangguan, maka tidaklah ia mendorong saya, kecuali kepada kebaikan.(Riwayat Muslim)

Menurut Al-Quran dan As-Sunnah, terdapat istilah qarin yang bermaksud roh-roh jahat dari kalangan makhluk halus yang mengiringi kelahiran seorang bayi. Kewujudannya adalah untuk menggoda manusia, menampakkan hal-hal yang buruk dan jahat tetapi seolah-olah baik dari pandangan manusia. (Haron Din, 1990). Seperti dalam firman Allah S.W.T.:

Dan demikianlah kami jadikan bagi setiap nabi itu musuh dari jenis manusia dan jin, sebahagian daripada mereka membisikkan kepada yang lain perkataan yang indah-indah untuk menipu.(Surah al-An’am : 112)

KAEDAH PENGKAJIAN

Terdapat banyak kajian paranormal yang dijalankan secara saintifik dan umumnya terdapat beratus-ratus persatuan/pertubuhan yang menjalankan kajian sedemikian. Kajian yang dijalankan adalah merangkumi penggunaan peralatan moden seperti video kamera, kamera, perakam audio dan pelbagai lagi peralatan sampingan. Amalan ritual dan pemujaan dalam usaha untuk ’menghubungi’ makhluk ghaib adalah cuba dielakkan. Antara istilah yang sering digunakan untuk pengkaji paranormal untuk mewakili kewujudan makhluk ghaib ialah istilah ’entiti’. Entiti adalah hasil kewujudan jin kerana jin diperbuat daripada api. Secara saintifik, entiti terhasil dari ion dan plasma (Lando Zawawi, 2004).

Penyelidik paranormal barat berpendapat entiti adalah tenaga elektromagnet dalam tubuh manusia yang terbebas apabila meninggal dunia. Dalam badan manusia terdapat ‘basic electrical charges’ iaitu proton, neutron dan nukleus (Zukarnain Zakaria, 2004).

Teknologi gelombang bunyi digunakan untuk mengesan kehadiran entiti. Dari segi saintifik, jika ada entiti terdapat gelombang atau ion negatif. Penggunaan teknologi moden seperti alat pengesan gelombang bunyi, kamera video dan pengimbas cahaya UV (ultraviolet) dan kemudiannya menggunakan radar dan kamera infrared dapat mengesan kehadiran entiti. Pengkaji paranormal berpendapat bahawa ion-ion negatif boleh dihalau keluar dengan menggunakan kaedah gelombang bunyi dan cahaya ultra violet.
Sebuah pertubuhan di barat iaitu The American Association of Electronic Voice Phenomena merupakan sebuah pertubuhan yang menyokong dan membantu para pengkaji paranormal untuk merakam audio (Electronic Voice Phenomena) dan merakam imej dan audio (Instrumental TransCommunication) dari dimensi lain yang tidak dapat didengari dan dilihat oleh manusia biasa dengan menggunakan peralatan tertentu termasuk penggunaan komputer dan fenomena ini telah mewujudkan suatu bentuk komunikasi baru dengan dimensi lain.

Namun begitu kajian paranormal sering menemui pelbagai rintangan dari segi kesahihan memandangkan telah banyak laman web mengenai paranormal yang didirikan orang pihak yang tidak bertanggungjawab. Mereka cuba mengeksploitasikan teknik super impose kepada sesuatu imej untuk mengaut keuntungan.

Selain daripada kaedah menggunakan peralatan berteknologi untuk mengesan kehadiran mahkluk ghaib atau lebih dikenali sebagai entiti oleh pengkaji paranormal, kaedah lain yang turut digunakan ialah melalui tubuh badan manusia. Secara saintifik, tubuh badan manusia mempunyai tenaga elektromagnet. Tenaga ini terhasil daripada kewujudan cas elekrik dan medan magnet. Setiap denyutan jantung manusia menghasilkan rembesan elektrik. Selain daripada tenaga elektromagnet, tubuh badan manusia juga membawa cas elektrik statik. Sebagai contoh kita menggosokkan tangan kepada pembaris plastik dan didekatkan kepada habuk maka akan ada tarikan seperti magnet. Unsur alam persekitaran pula disatukan oleh elektron (cas negatif), proton (cas positif) dan neutron. Ini bermaksud semua tumbuhan dan hidupan di atas muka bumi mempunyai tenaganya sendiri.

Menurut ajaran dan amalan Chakra, terdapat pusat-pusat dan saluran aliran tenaga batin dan emosi di seluruh badan manusia. Aliran tenaga ini sebenarnya adalah medan elektromagnetik ataupun medan tenaga biologi yang melingkungi tubuh badan. Di dalam tafsiran moden, medan ini dikenali sebagai aura. Melalui kajian saintifik, setiap anggota badan mengeluarkan medan tenaga yang berlainan dan gabungan tenaga ini membentuk aura seseorang. Secara khususnya, aura merupakan medan tenaga biologi ataupun medan psikik yang menyelubungi semua makhluk. Saiznya berbeza dari beberapa inci ke beberapa kaki di semua arah dan merupakan pancaran dari badan manusia. Aura juga terdiri daripada tujuh lapisan, di mana lapisan luaran berkaitan dengan jiwa dan roh manakala lapisan dalaman berkaitan dengan minda, emosi dan kesihatan.

Berbalik kepada persoalan paranormal maka dapatlah dikaitkan di sini bahawa berlakunya interaksi manusia dengan entiti melalui teori-teori yang disebutkan seperti di atas. Contohya pengkaji paranormal dan feng shui dari Singapura pula berpendapat bahawa apabila manusia meninggal dunia, gas dalam bentuk ion-ion positif dan negatif akan dilepaskan dari tubuh manusia ke udara. Walaubagaimanapun tidak dapat dipastikan sama ada gas tersebut adalah roh manusia. Natijahnya, apabila kita berada di tempat-tempat yang dianggap berhantu, gas-gas tersebut akan bergeseran dengan bulu roma dan menghasilkan elektrik statik dan kesan tersebut akan menyebabkan bulu roma meremang dan signal (saraf) akan dihantar ke otak dan terus diintrepetasikan bahawa kawasan itu berhantu. Oleh sebab itulah keadaan meremang atau takut dengan tiba-tiba dipercayai menandakan ada makhluk lain di sekeliling atau berhampiran dengan kita.

Pengamal aura pula yang belajar menggunakan dan mengaplikasikan tenaga dalamannya juga boleh mengesan kehadiran makhluk-makhluk halus melalui deria seperti terasa panas, sejuk, sesak nafas dan sebagainya. Ada juga yang boleh mengesan dengan mengetahui bentuk makhluk halus dalam bentuk frekuensi dan cahaya. Menurut Krizhanovsky, seorang profesor dalam bidang fizik, medan tenaga biologi (aura) merupakan hasil interaksi yang rumit di antara medan fizikal dan radiasi seperti medan elektromagnetik, medan graviti, medan akustik dan medan molekul. Ia terbentuk apabila badan objek bio berinteraksi dengan persekitaran (termasuklah entiti) dan membawa pelbagai maklumat mengenai objek bio tersebut. Selain itu juga pengamal-pengamal aura mampu untuk menghalang kehadiran makhluk halus dan kadangkala boleh mengeluarkan sihir yang diakibatkan oleh makhluk halus.

Dari sudut agama Islam, cara yang paling terbaik untuk menghindari diri dari terkena gangguan mahkluk halus ialah penggunaan ayat Al-Quran. Ayat-ayat Al-Quran mempunyai pelbagai khasiat untuk menyembuhkan pelbagai penyakit. Setiap ayat-ayat Al-Quran mempunyai cahaya atau nur yang berbeza-beza dan tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Sebagai contoh, sering kita lihat ialah sewaktu membaca surah Yasin di masjid di mana bekas-bekas berisi air kosong dibuka tudungnya untuk membenarkan cahaya atau nur dari surah Yasin meresap masuk ke dalam bekas tersebut dan menjadi penawar atau apa jua permintaan dengan izin Allah S.W.T. Justeru kita perlu percaya dan meyakini bahawa ayat-ayat Al-Quran yang diturunkan oleh Allah merupakan ubat atau penawar yang mujarab untuk menyembuhkan pelbagai penyakit dengan ‘izin’ Allah. Secara asasnya, cara untuk menghindari dari terkena gangguan mahkluk halus ialah seperti sentiasa bertakwa dan mengikut suruhan Allah S.W.T, berzikir, penggunaan ayat-ayat tertentu daripada surah Al-Quran dan yang paling penting sekali ialah berdoa kepada Allah S.W.T. Seperti firmanNya:

Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari syaitan maka hendaklah engkau meinta perlindungan kepada Allah. Sesungguhnya Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.(Surah Fussilat : 36)

Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa, apabila mereka disentuh oleh sesuatu imbasan hasutan syaitan, mereka ingat (kepada ajaran Allah) maka dengan itu mereka nampak (jalan yang benar)(Surah Al-A’Raaf : 200-201)

KESIMPULAN

Kajian dan pemahaman mengenai kewujudan makhluk-makhluk ghaib perlu dijalankan dengan penuh teliti dan berhati-hati dan perlu sentiasa merujuk kepada Al-Quran dan hadis sebagai pegangan demi mengukuhkan akidah agar tidak terserong. Namun begitu penemuan dan teori sains dan teknologi dalam kajian paranormal adalah juga perlu sebagai sumber pengetahuan. Dalam erti kata lain, masyarakat terutamanya umat Islam perlu menyedari bahawa mereka lebih harus takut kepada Allah S.W.T. daripada takutkan makhluk-mahkluk ghaib. Dalam membincangkan topik ini, kita perlu lebih berpaksikan kepada sudut keagamaan di samping menerima pendapat, penyelidikan dan penggunaan teknologi moden yang berkaitan dengan paranormal sebagai kaedah yang lebih bersifat saintifik. Dalam ajaran Islam, manusia adalah salah satu makhluk yang diciptakan oleh Allah S.W.T. Selain itu juga kita perlu mengetahui dan mempercayai akan kewujudan makhluk-makhluk lain yang juga diciptakan oleh Allah S.W.T. Dengan mengkaji kewujudan makhluk-makhluk ghaib maka kita akan lebih mengetahui akan hakikat kejadian mahkluk tersebut secara umum di mana kajian ini juga akan terbatas dengan kekayaan dan kekuasaan ilmu dari Allah S.W.T. yang sesungguhnya lebih luas dan tidak mampu dicakupi oleh pemikiran manusia.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s